LOKASI
Bandar Tangkak juga berhampiran dengan Gunung Ledang yang merupakan pusat pelancongan dan mempunyai pemandangan yang indah dan air terjun yang jernih. Ia juga bersempadan dengan Jasin, Melaka dan lebih kurang 45 minit dari bandar Melaka. Dari Kuala Lumpur, Tangkak hanya kira-kira 2 jam perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan keluar ke Tol Tangkak dan belok ke kanan. Dan bandar Tangkak hanya kira-kira 3 minit dari Susur keluar tol. Ia terletak dalam daerah Ledang.
TOPONOMI
Nama Tangkak timbul daripada ‘tang merangkak’. ‘tang’ berasal dari perkataan tentang yakni tempat. Peristiwa itu berlaku ketika peneroka kawasan Tangkak, Long Mahmud tujuh bersaudara terpaksa merangkak naik ke tebing Sungai Tangkak menuju ke Bukit Tambak di kawasan Seri Makmur. Tebing-tebing sungai di kawasan Tangkak adalah lembut dan jerlus kerana paya ditumbuhi pokok-pokok resam, sendayan, pakis dan rembia.
TARIKAN
Tangkak dikenali di kalangan penduduk tempatan dengan gelaran Syurga Kain atauBandar Fabrik kerana mempunyai banyak kedai kain yang menjual pelbagai fabrik yang cantik. Memang tidak dapat dinafikan apabila menjejakkan kaki ke Tangkak, kita boleh lihat dari kiri dan kanan jalan dipenuhi dengan deretan kedai-kedai kain tersebut. Bandar Tangkak hanya 17km dari Gunung Ledang yang merupakan gunung tertinggi di Johor. Gunung ini dapat dilihat dengan jelas dari mana-mana sudut bandar Tangkak. Gunung Ledang terkenal dalam lagenda Puteri Gunung Ledang.